Menurut cerita orang-orang tua, kampung ini asalnya diberi nama Kampung Betong. Kampung ini telah dibuka pada sekitar tahun 1920-an. Kampung Betong mendapat nama sempena dengan nama pokok buluh betong yang sememangnya banyak terdapat di sekitar kampung ini.

           Kampung ini pada awalnya merangkumi satu kawasan yang luas iaitu di bahagian selatannya bersempadan dengan Kampung Padang Pulut. Bahagian utaranya pula mengunjur hingga ke Kampung Kuala Beris. Kawasan yang luas ini telah dinamakan Kampung Betong. Ketika itu, taburan penduduk adalah sangat jarang sekali. Sebelum merdeka, kampung ini merupakan ‘kawasan hitam’ iaitu tempat laluan pengganas komunis. Setelah negara mencapai kemerdekaan, bilangan penduduk semakin bertambah. Walaubagaimanapun ketika itu tidak ada jalan darat yang sempurna. Laluan adalah di pesisir Sungai Muda. Ketika itu, pekan yang paling dekat adalah Pekan Jeniang. Jika ada penduduk yang hendak ke Jeniang mereka akan menghilir menaiki rakit buluh. Apabila hendak balik semula, mereka akan berjalan kaki.

          Ketua kampung yang pertama untuk Kampung Betong ialah Md Isa yang lebih dikenali dengan nama ‘Pak Dai Sa’. Sekitar tahun 1970-an, ramai orang telah berhijrah ke Kampung Betong ini. Mereka datang membuka tanah untuk menanam getah dan dusun buah-buahan. Akhirnya, kata sepakat telah diambil untuk memecahkan Kampung Betong kepada beberapa buah kampung bagi menyenangkan pentadbiran. Dengan itu, ia telah dipecah kepada tiga buah kampung iaitu, Kampung Kuala Kerik, Kampung Pokok Jerai, dan Kampung Betong Dalam. Setiap kampung mempunyai ketua kampung masing-masing.

         Kampung Kuala Kerik yang dahulunya merupakan pusat pentadbiran bagi Kampung Betong telah dipecahkan dengan bahagian selatannya bersempadan dengan Kampung Padang Pulut dan bahagian utaranya pula bersempadan dengan Kampung Pokok Jerai.

 sungai kerik

          Kampung Kuala Kerik mendapat nama sempena dengan terdapatnya sebatang sungai yang mana hulunya di bahagian timur kampung ini. Di bahagian baratnya pula terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Muda. Aliran air Sungai Kerik telah mengalir dan bertemu dengan Sungai Muda. Maka pertemuan dua batang sungai ini telah membentuk ‘kuala sungai’. Dengan itu, Kampung Kuala Kerik mendapat nama hasil daripada pertemuan dua batang sungai ini.

 


MOTTO KAMPUNG

“KAMPUNG KITA, TANGGUNGJAWAB KITA”

 

VISI KAMPUNG

    • Menjadikan Kampung Kuala Kerik sebuah perkampungan contoh dalam pelbagai aspek.

 

MISI KAMPUNG

    • Melahirkan masyarakat yang prihatin, saling bermuafakat dan tanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat.